KUALA LUMPUR: Misi Global Sumud Flotilla (GSF) berdepan detik tegang apabila kapal tentera Israel dikesan menghampiri konvoi mereka sambil mengugut dan merosakkan sistem komunikasi bot yang mengambil bahagian.
Menurut laporan aktivis di atas kapal, tentera Israel turut melakukan taktik berbahaya dengan mengelilingi dua bot utama flotila, Alma dan Sirius.
“Walaupun berlaku kerosakan pada peralatan elektronik, tiada yang cedera. Kami akan terus berlayar ke Gaza bagi memecahkan kepungan dan membuka laluan kemanusiaan,” kata seorang aktivis menerusi Instagram Thiagoavilbrasil.
GSF memaklumkan pada jam 9.30 pagi waktu Malaysia bahawa konvoi kini berada kurang 160 batu nautika (296 kilometer) dari Gaza dan dijangka memasuki Zon Merah kawasan paling berisiko tinggi malam ini.
Selain gangguan kapal perang, beberapa dron pengintip turut dikesan berlegar di altitud sederhana di ruang udara perairan Mediterranean berhampiran laluan flotila.
Sementara itu, seorang aktivis Turki yang berada di atas bot Adagio mendakwa sebuah kapal Tentera Laut Israel turut dikesan hanya 80 kilometer (50 batu nautika) dari posisi flotila.
Konvoi GSF yang membawa aktivis antarabangsa termasuk 34 rakyat Malaysia kini terus berlayar menuju Gaza dengan misi menghantar bantuan kemanusiaan dan menembusi kepungan Israel.