SEPANG: Kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka memasuki zon kuning dalam masa terdekat, kawasan berisiko tinggi untuk dipintas oleh tentera Israel.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata perkembangan itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Sani Araby Abdul Alim, dalam taklimat di Pusat Gerakan Sumud Nusantara hari ini.
Menurutnya, pengalaman misi terdahulu menunjukkan kawasan sejauh 300 batu nautika dari Gaza itu sering menjadi lokasi gangguan oleh rejim Zionis, dan situasi sama berkemungkinan besar akan berlaku terhadap konvoi GSF kali ini.
“Ini saat genting. Kemungkinan besar akan berlaku pemintasan oleh pihak Israel ketika kapal memasuki zon kuning. Insiden gangguan di Tunisia sebelum ini menjadi petanda jelas tentang risiko tersebut,” katanya pada sidang media selepas menerima taklimat.
Fahmi menegaskan kerajaan memberi sokongan penuh kepada inisiatif GSF serta Sumud Nusantara, dan melalui Kementerian Luar sentiasa memantau rapat pergerakan misi berkenaan bagi memastikan keselamatan 34 rakyat Malaysia yang terlibat.
“Kita berada pada detik bersejarah. Dunia tidak boleh lagi berdiam diri membenarkan negara haram Israel melakukan apa sahaja yang mereka mahu,” tegasnya.
Dalam lawatan itu, Fahmi turut berkesempatan mengadakan panggilan video bersama tujuh warga Malaysia yang berada dalam misi tersebut.
GSF yang melibatkan 47 kapal kini belayar merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan.
Misi itu juga menuntut agar peperangan dihentikan, krisis kebuluran ditangani dan akses koridor kemanusiaan ke Gaza segera dibuka.