More

    Kantoi Makan Di Restoran, Wanita Ingkar Arahan Kuarantin Sedang Dikesan

    Tular pada ketika ini di media sosial adalah gambar seorang wanita yang memakai gelang Covid-19 yang menunjukkan dia adalah individu di bawah pengawasan (PUS) sedang makan di sebuah restoran di Bandar Meru Raya, Ipoh.

    Pelbagai reaksi diberikan masyarakat terhadap wanita itu, yang rata-ratanya berang kerana dia tidak mengikut arahan kuarantin yang ditetapkan, bahkan merisikokan individu-individu di sekelilingnya.

    Apatah lagi pada semalam merekodkan peningkatan 20 kes baru Covid-19, satu jumlah yang tetinggi sejak 30 hari lalu.

    Malah perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada semalam juga meluahkan rasa gusarnya dengan ketidakpatuhan masyarakat terhadap norma baru dalam menangani wabak Covid-19.

    Bahkan masyarakat juga perlu bersedia untuk menghadapi dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk tempoh kedua jika ramai yang masih ingkar.

    Sementara itu pemilik cafe dimana wanita itu dirakam sedang menjamu selera menafikan dakwaan mereka gagal melakukan tapisan terhadap pelanggan sebelum memasuki premis.

    “Jangan kata kami pihak peniaga tak ambil tindakan. Kami tak ada hak selak lengan baju orang ye! Kami ikut Prosedur Operasi Standard (SOP), ambil suhu ikut yang disarankan. Masa viral ni tentu semua peniaga terkejut,” demikian hantaran pemilik kafe tersebut di Facebook.

    Menerusi Facebook Nurul Chu Hada Karim, pemilik itu juga kesal dengan tindakan wanita itu.

    “Kak Nurul sendiri awal pagi dah kol (hubungi) Jabatan Kesihatan Negeri Perak. Dah bercakap sendiri isu ini. Kak Nurul disarankan bertenang. Katanya dua orang yang positif dah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). Bukan yang viral (wanita tular).

    “Hanaz Cafe bebas dari Covid ye. Kami tiada arahan penutupan kerana pegawai sendiri sahkan Makcik gelang pink negatif daripada Covid-19. Makcik dicari bagi tujuan tindakan undang undang kerana melanggar arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujarnya.

    Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, juga meluahkan rasa kesalnya dengan tindakan tidak bertanggungjawab individu berkenaan.

    “Orang macam wanita inilah yang meningkatkan risiko negara kita menghadapi gelombang kedua. Malulah sikit cik, dan juga kawan-kawan atau keluarga cik serta kafe yang membenarkan dia masuk dan tidak laporkan dia sedangkan dia sepatutnya di bawah kuarantin. Langkah lebih ketat diperlukan. Covid19 masih belum berakhir,” katanya di Twitter.

    Wanita itu kini sedang dikesan Jabatan Kesihatan Perak dan tindakan segera akan diambil jika mendapat maklumat berkenaan.

    Mengikut peraturan, seseorang yang menjalani HSO wajib berada dalam rumah selama 14 hari dan menjalani ujian Covid-19 kedua pada hari ke-13.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini