KULAI: Tindakan sepasang kekasih hadir ke Pejabat Kadi Daerah Kulai untuk menguruskan pernikahan segera bertukar detik memalukan apabila siasatan pihak berkuasa mendapati mereka sebenarnya cuba menutup perbuatan zina yang dilakukan berkali-kali sehingga September lalu.
Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengambil alih siasatan selepas mendapati wanita terbabit sedang hamil, sekali gus mengesahkan pasangan itu akan didakwa di bawah Seksyen 23 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor kerana kesalahan berzina.
Menurut kenyataan JAINJ, pasangan berusia 20-an dan 30-an itu hadir bersama kedua-dua keluarga mereka untuk memohon pernikahan segera.
Rekod menunjukkan wanita tersebut masih berstatus anak dara, sementara lelaki berkenaan baru sahaja bekerja dan lapan tahun lebih muda daripadanya.
“Permohonan nikah segera dibuat kerana wanita itu didapati hamil,” katanya.
Susulan itu, pihak penguat kuasa membawa wanita tersebut ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) untuk pemeriksaan dan doktor mengesahkan kandungan berusia antara tiga hingga empat bulan.
Wanita itu kemudian mengaku melakukan hubungan terlarang bersama pasangannya beberapa kali, dengan kali terakhir berlaku di sebuah hotel sekitar daerah ini pada September lalu.
“Mereka menyewa bilik mengikut jam kerana takut ditangkap, dan tidak pernah bermalam bersama,” jelas JAINJ.
Agensi itu turut memaklumkan bahawa perbuatan pasangan terbabit terbongkar apabila ibu wanita tersebut menyedari perubahan pada tubuh anaknya sebelum si anak akhirnya mengaku melakukan perbuatan itu secara suka sama suka.
Pada peringkat awal, mereka tidak merancang untuk bernikah kerana lelaki itu baru bekerja dan tinggal berdekatan dengan rumah keluarga wanita.
Keadaan keluarga kedua-dua pihak sempat tegang sebelum rundingan dicapai demi menjaga maruah, dan keluarga menerima keputusan untuk mereka berkahwin.
“Kerelaan lelaki itu untuk bernikah dianggap lebih baik daripada meninggalkan wanita berkenaan begitu sahaja,” kata JAINJ.
Jika disabitkan kesalahan, pasangan tersebut boleh dikenakan denda sehingga RM5,000, penjara sehingga tiga tahun, enam sebatan, atau hukuman kombinasi kesemuanya.










