Kanak-Kanak Seawal Usia 12 Tahun Terlibat Eksploitasi Seksual Dalam Talian

KUALA LUMPUR: Polis mengesan kes membabitkan eksploitasi seksual dalam talian oleh kanak-kanak seawal usia 12 tahun, termasuk penubuhan laman web untuk menjual gambar eksploitasi mereka sendiri.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata siasatan mendapati seorang kanak-kanak perempuan bersama empat rakannya terbabit dalam kegiatan itu sehingga ada yang berhenti sekolah kerana pendapatan lebih tinggi daripada gaji ibu bapa.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Kes tersebut turut mengaitkan kewujudan sebuah kumpulan WhatsApp yang berkembang hingga mencecah 762 ahli.

Namun, Saifuddin tidak memperincikan sama ada ahli kumpulan itu terdiri daripada kanak-kanak atau orang dewasa.

Katanya, isu berkenaan tidak boleh ditangani hanya melalui penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai agensi.

“Bila berdepan kes melibatkan kanak-kanak seawal 12 tahun, pendekatan perlu lebih menyeluruh,” tegasnya.

Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Padang Jerai, Sabri Azit (PN), beliau menjelaskan lima undang-undang boleh digunakan bergantung kepada situasi, termasuk Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak, Akta Penapisan Filem, serta Enakmen Syariah.

Saifuddin turut mengingatkan bahawa selain undang-undang, pembinaan institusi keluarga yang kukuh perlu diberi perhatian sebagai benteng pencegahan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau merujuk serbuan polis pada Ogos 2024 ke atas sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur yang mempromosikan aktiviti “swinger”, melibatkan pelajar universiti, penjawat awam dan warga asing.

Kes berkenaan masih berjalan di mahkamah.

BBerkaitan

Latest articles