KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditemukan lemas di kolam renang ketika bercuti bersama keluarga di sebuah apartment di Puchong, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan daripada pihak hospital pada 2.40 petang.
Menurut beliau mangsa bersama keluarga berasal dari Kampung Beserah, Kuantan, Pahang datang bercuti di rumah saudara mereka di apartment berkenaan.
“Pada kira-kira jam 11.30 pagi, mangsa bersama ahli keluarga lain kemudian ke kolam renang untuk mandi.
“Tanpa pengetahuan ahli keluarga, mangsa masuk ke kolam dewasa dan lemas di kolam berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Berita Hariab.
Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.
Bedah siasat yang dijalankan oleh pihak hospital pada jam 9 pagi semalam mengesahkan kematian mangsa akibat lemas.
Kes diklasifikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.