LABUAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ditemui tidak bernyawa di dalam sebuah kereta rosak yang ditinggalkan di belakang sebuah premis perindustrian di Kampung Muslim, pagi tadi.
Penemuan itu dibuat oleh seorang mekanik pada jam 9.10 pagi selepas dia terhidu bau busuk ketika ingin mengalihkan kenderaan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Labuan, Supt. Mohd Hamizi Halim berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kereta itu merupakan sebuah kenderaan rosak yang diletakkan di kawasan bengkel berdekatan sejak Jun 2025.
Pasukan perubatan yang tiba kira-kira jam 10.26 pagi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia sebelum mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Labuan untuk proses bedah siasat.
Beliau berkata, punca kematian masih dalam siasatan dan setakat ini polis tidak mengesan sebarang unsur jenayah.
Bagaimanapun, siasatan menyeluruh sedang dijalankan oleh pegawai penyiasat Balai Polis Rancha-Rancha serta Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan, termasuk mengumpul keterangan saksi dan meneliti rakaman CCTV di lokasi.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.










