KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, selepas mengalami pendarahan serius selepas selepas berkhatan secara beramai-ramai di sebuah masjid kelmarin.
Bapanya, Ahmad Mudzakkir Ahmad Mukri, 37, mendakwa kejadian itu berlaku selepas anak sulungnya, yang menyertai program berkenaan dengan bayaran RM50, dibenarkan pulang sebaik prosedur selesai.
“Prosedur dilakukan oleh doktor, tetapi waris tidak dibenarkan melihat. Tidak lama selepas pulang, luka pada alat sulit anak saya mula mengalami pendarahan,” katanya ketika ditemui pemberita.
Ahmad Mudzakkir berkata, dia segera menghubungi doktor terlibat yang kemudian mengarahkan supaya anaknya dibawa ke sebuah klinik berhampiran.
“Di klinik itu, doktor membuka semula jahitan luka dan menjahit kembali, tetapi pendarahan tidak berhenti. Kami diminta membawa anak ke sebuah lagi klinik di Jitra, di mana doktor juga membuka semula jahitan sebelum meminta kami ke bahagian kecemasan HSB,” jelasnya.
Menurut Ahmad Mudzakkir, anaknya selamat menjalani pembedahan pada pagi tadi dan kini berada dalam keadaan stabil, namun masih dirawat di HSB.
“Saya sangat terkilan kerana anak saya terpaksa menanggung kesakitan yang amat sangat akibat jahitan yang dibuka dan dijahit semula beberapa kali. Suara dia meraung masih terngiang-ngiang di kepala saya,” luahnya.
Beliau turut mendakwa bahawa pihak terlibat masih belum memaklumkan punca sebenar pendarahan tersebut.
Susulan kejadian, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar. Ahmad Mudzakkir berkata beliau bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit untuk memastikan kejadian sama tidak berulang. – BERNAMA