Kanak-Kanak 6 Tahun Dilarikan Bersama Kereta, Ditemui Selamat Selepas 50 Minit

KUALA LUMPUR: Seorang guru tadika berdepan detik cemas apabila anak perempuannya berusia enam tahun dilarikan bersama kenderaan miliknya oleh individu tidak dikenali di Setia Alam, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata kejadian berlaku sekitar jam 6.55 pagi ketika wanita itu menghantar anak keduanya ke pusat asuhan kanak-kanak.

“Sewaktu kejadian, anak perempuan sulungnya sedang tidur di dalam kereta yang ditinggalkan dengan enjin masih hidup dan pintu tidak berkunci.

“Sebaik keluar dari pusat asuhan, mangsa terkejut apabila mendapati kenderaan dan anaknya telah hilang. Wanita itu segera mendapatkan bantuan orang awam sebelum menghubungi pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, sekitar 50 minit kemudian, pada jam 7.45 pagi, kanak-kanak itu ditemui selamat bersama kereta yang dicuri berhampiran sebuah pangsapuri, kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

Siasatan awal mendapati suspek merupakan seorang lelaki tempatan yang dipercayai hanya berniat mencuri kenderaan tanpa menyedari keberadaan kanak-kanak tersebut di dalamnya.

“Suspek terkejut apabila mendengar tangisan mangsa sebelum bertindak memberhentikan kenderaan dan melarikan diri selepas mengambil beg tangan mengandungi kad bank, dokumen pengenalan diri, serta dua telefon bimbit bernilai kira-kira RM2,000,” jelas Mohd Iqbal.

Pemeriksaan ke atas kanak-kanak itu mengesahkan bahawa mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan, dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Khamsia Hung Mei Shuang di talian 016-8119560 bagi membantu siasatan.

BBerkaitan

Latest articles