SUNGAI PETANI: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun melecur hampir seluruh badan selepas dipercayai terkena air panas ketika berada di bawah jagaan pengasuhnya di Taman Ria, awal bulan lalu.
Mangsa, Nur Maryam Suraiya, disahkan melecur 35 peratus dan perlu menjalani sekurang-kurangnya dua pembedahan termasuk graf kulit bagi menutup luka besar akibat kejadian pada 4 Ogos lalu.
Bapanya, Mohamad Yusof Musa, 31, berkata dia menerima panggilan daripada isterinya sekitar jam 10 pagi yang memaklumkan anak mereka cedera terkena air panas.
“Pada mulanya saya sangka tidak serius, tetapi terkejut apabila melihat anak melecur dari bahu hingga ke betis. Kulitnya sudah ‘masak’ dan melekat di tangan saya ketika saya mengangkatnya.
“Saya segera membawanya ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, dan dia terus dimasukkan ke unit rawatan rapi sebelum dipindahkan ke wad biasa selama sebulan,” katanya memetik laporan Kosmo! hari ini.
Menurutnya, anak kedua daripada tiga beradik itu kini masih trauma, sering menangis dan mengadu sakit terutama ketika memakai pakaian.
“Bila ditanya apa yang berlaku, dia enggan bercerita. Anak sulung kami yang turut berada di tempat kejadian hanya kata ‘adik terkena air panas’,” katanya.
Mohamad Yusof berkata, sebelum ini pengasuh berusia 20-an itu tidak pernah menimbulkan masalah, namun sejak sebulan kebelakangan, beliau mula meninggalkan kanak-kanak berkenaan sendirian di rumah selepas mula berniaga laksa.
Lebih mengecewakan, katanya, pengasuh terbabit tidak memberi penjelasan jelas mengenai kejadian dan sering mengubah kenyataan.
“Mula-mula dia kata terkena air panas daripada jug, kemudian beritahu polis anak jatuh dalam periuk air panas di lantai. Sampai sekarang ceritanya berubah-ubah dan dia langsung tidak meminta maaf. Malah, WhatsApp saya juga sudah diblok,” katanya.
Mohamad Yusof berkata, kes itu akan disebut di Mahkamah Sungai Petani pada 29 September ini dan dia berharap keadilan dapat ditegakkan.
“Walaupun pengasuh itu dipenjara, trauma anak kami tidak akan hilang. Kesan melecur ini akan kekal seumur hidupnya. Apa yang saya mahu hanyalah keadilan untuk anak yang dihantar sihat, tetapi pulang dengan luka sepanjang hayat,” luahnya.