Kanak-kanak 12 Tahun Mangsa Eksploitasi Seks Diselamatkan

KUALA LUMPUR: Tiga suspek lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dalam pemerdagangan manusia dan eksploitasi seks dalam beberapa serbuan di Keningau, Sabah pada Khamis lalu.

Dalam serbuan yang sama juga, polis turut menyelamatkan tiga wanita termasuk seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang menjadi mangsa.

Ketua Polis Keningau Yampil Anak Garai berkata, mangsa yang lainbberusia 19 dan 30 tahun.

Yampil memberitahu salah seorang suspek berusia 44 tahun disyaki menjadi “runner” dan “transporter” untuk menghantar mangsa kepada pelanggan yang melanggan perkhidmatan seks.

“Dua lagi suspek berperanan untuk mencari pelanggan kepada mangsa melalui aplikasi media sosial.

“Modus operandi semua suspek ialah menjadikan satu kawasan sebagai transit untuk mengelak kegiatan mereka daripada dihidu oleh pihak berkuasa dan bergerak dari satu tempat ke tempat lain iaitu menggunakan inap desa atau hotel sebagai tempat beroperasi,” katanya.

Yampil berkata, dalam serbuan oleh Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sabah dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Keningau pihaknya turut merampas sejumlah wang tunai bersama beberapa barangan dipercayai digunakan untuk aktiviti pelacuran.

“Sebanyak RM785 dan tujuh telefon bimbit pelbagai jenama dan beberapa keping kondom dirampas. Suspek direman sehingga tujuh hari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 12/14 Akta Anti Pemerdagangan Orang (ATIPSOM) 2007.

BBerkaitan

Latest articles