Kampung’ jual air ketum diserbu, 8 termasuk seorang wanita ditahan

Polis menahan lapan individu termasuk seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam kegiatan memproses dan menjual air ketum dalam tiga serbuan di Kampung Sungai Layar Hujung di sini semalam.

Kesemua mereka ditahan menerusi Ops Aidilfitri/Ops Cantas bermula jam 4 petang yang diketuai Asisten Superintendan Mohd Firdhaust Zainal bersama sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Khas D9, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.

Mereka yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 44 tahun itu berperanan sebagai pemilik, tukang masak serta melakukan kerja-kerja penjualan air ketum di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kesemua lokasi serbuan berhampiran satu sama lain dan serbuan pertama dilakukan di sebuah pondok di kampung berkenaan yang membawa kepada tangkapan empat lelaki.

Katanya, kesemua mereka yang berperanan sebagai tukang masak dan membungkus air ketum itu berusia lingkungan 24 hingga 36 tahun.

“Dalam serbuan tersebut pihak polis turut merampas sebuah tong ais yang mengandungi 351 bungkus plastik lutsinar berisi air ketum.

“Turut dirampas enam bungkus plastik hitam berisi daun ketum seberat 30 kilogram (kg), peralatan memasak daun ketum serta tong gas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Adzli, serbuan kedua dilakukan 30 minit kemudian di hadapan sebuah rumah di kampung yang sama.

Jelas beliau, seramai tiga lelaki termasuk dalang utama memproses air ketum berusia 20 tahun diberkas di lokasi kejadian.

Kata Adzli, dalam serbuan kedua pihaknya merampas sebuah tong ais berwarna oren mengandungi 250 plastik lutsinar berisi air ketum, 10 bungkus plastik hitam mengandungi 50 kg daun ketum, empat tong gas serta peralatan digunakan untuk memasak air ketum.

“Serbuan terakhir membabitkan tangkapan seorang wanita berusia 44 tahun di tepi rumahnya di kampung yang sama.

“Hasil soal siasat suspek mengaku suaminya terlibat dalam kegiatan penjualan air ketum.

“Turut dirampas dalam serbuan ketiga itu, sebuah tong ais yang mengandungi 168 bungkus plastik lutsinar berisi air ketum, tiga bungkus plastik hitam yang mengandungi daun ketum anggaran berat 15kg serta peralatan memasak bahan tersebut,” ujar beliau.

Tambah Adzli, kesemua tangkapan dibawa ke IPD Kuala Muda untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengiku Seksyen 30 (3) Akta Racun 1956.

Latest articles

Related articles

spot_img