Mengakui berang dengan tindakan individu yang menconteng hasil lukisan mural mereka di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam, namun kumpulan pelukis berkenaan bertekad akan menghasilkan mural terbaru dengan lebih besar.
“Luluh hati bila melihat hasil usaha keras kami menjadi mangsa vandalisme seperti ini. Bagaimanapun mereka yang buat (kerja) ini kena ingat, benda ini tidak akan sama sekali mematahkan semangat kami.
“Malah ia semakin membakar semangat kami untuk terus melukis, kami akan buat (lukis) lagi besar kalau diberikan peluang,” demikian menurut salah seorang pelukisnya, Muhammad Suhaimi Ali.
Memetik laporan Malaysia Gazette, mereka menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat siapakah yang membuat perlakuan tersebut.
“Sebenarnya kalau pun ada perbezaan pandangan khususnya daripada segi pemikiran atau politik sekali pun, kita tidak boleh menjadikan karya seni seperti mana mural yang kami lukis itu sebagai ‘mangsa’.
“Saya difahamkan ada kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut, justeru saya percaya pihak polis akan menyiasat dan mengheret dalang kes ini ke muka pengadilan.
“Boleh sahaja kalau hendak ‘touch up’ kerosakan itu tetapi saya bersetuju agar dinding itu dicat semula dengan cat putih oleh pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
“Ini kerana kerosakan yang dilakukan benar-benar menjatuhkan maruah Tuanku dan pemimpin-pemimpin lain yang kami paparkan itu,” ujarnya.
Selain Suhaimi, turut melukis mural pemimpin berkenaan adalah Muhamad Firdaus Nordin dan Abdul Hadi Ramli.
Selain Yang di-Pertuan Agong, mereka turut melukis potret Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham.