KUALA LUMPUR: Dasar sedia ada yang mengehadkan penggunaan kalimah Allah kepada orang Islam di Semenanjung akan terus diperaku dan diguna pakai, dan dalam masa yang sama memberi kelonggaran bersyarat oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam satu kenyataan, selepas menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyembah maklum pendirian Kerajaan Persekutuan berhubung keputusan Kerajaan dalam kes Jill Ireland melawan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia di Mahkamah Rayuan
Bahkan Anwar memberi jaminan bahawa kerajaan komited untuk memperkemas dasar sedia ada berdasarkan ketetapan Majlis Raja-Raja yang akan diangkat sebagai suatu dasar muktamad berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia.
“Saya sudah menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini dan menyembah maklum kepada baginda berhubung keputusan Kerajaan dalam kes Jill Ireland melawan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia di Mahkamah Rayuan.
“Dalam sesi menghadap itu, saya sudah menjelaskan pendirian Kerajaan Persekutuan yang menghormati undang-undang yang berkuat kuasa di negeri-negeri dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Ketua Agama Negeri dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam di peringkat negeri.
“… serta peranan Majlis Raja-Raja dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam di peringkat Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Anwar juga memaklumkan bahawa Sultan Sharafuddin yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) berkenan untuk membawa perkara ini untuk dibincangkan dalam majlis berkenaan pada Ogos depan sebelum ia diangkat untuk pertimbangan dan penelitian Majlis Raja-Raja pada bulan Oktober pula.
Perdana Menteri turut menegaskan pandangan baginda selari dengan keputusan Jemaah Menteri pada Mei lalu di mana isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak lebih sesuai diperkemas dan diperjelaskan kepada MKI yang berperanan menasihati Majlis Raja-Raja.
“Saya sekali lagi menegaskan pendirian Kerajaan Persekutuan untuk memperaku dan menerima pakai dasar sedia ada yang menghadkan penggunaan kalimah Allah kepada orang Islam di Semenanjung Tanah Melayu serta kelonggaran bersyarat oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak.
“Kerajaan juga memberikan komitmen untuk memperkemas dasar sedia ada berdasarkan ketetapan Majlis Raja-Raja yang akan diangkat sebagai suatu dasar muktamad berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia.”