KUALA LUMPUR: Jika benar PAS pernah menerima tawaran bantuan Amerika Syarikat (AS) untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) tetapi memilih untuk menolaknya, persoalan lebih besar kini ialah – bagaimana pula dengan DAP dan PKR yang ketika itu berada dalam blok pembangkang yang sama?
Persoalan itu dibangkitkan pengulas politik, Eric See-To susulan pendedahan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai dakwaan tawaran berkenaan ketika pentadbiran Presiden AS, Barack Obama.
Eric mempersoalkan sama ada DAP dan PKR turut menerima tawaran serupa dan, jika ada, apakah pendirian kedua-dua parti berkenaan terhadapnya.
“Sekarang tinggal satu soalan. Masa itu PAS berada dalam blok pembangkang bersama DAP dan PKR. Jadi DAP dan PKR pernah tak terima tawaran yang sama?
“Dan kalau pernah, adakah mereka tolak juga atau sebaliknya telah bekerjasama dengan pihak Amerika sehingga akhirnya BN tumbang pada 2018?” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Menurut Eric, isu tersebut tidak seharusnya dilihat secara terpisah kerana pada ketika itu PAS, DAP dan PKR berada dalam gabungan pembangkang yang sama sebelum perkembangan politik membawa kepada perubahan besar dalam landskap politik negara.
Justeru, beliau berpandangan penjelasan mengenai perkara itu wajar diberikan sekiranya terdapat sebarang tawaran atau bentuk kerjasama dengan pihak asing yang pernah diterima oleh mana-mana parti pembangkang.
Persoalan itu turut dikaitkan Eric dengan pendedahan e-mel sebuah organisasi yang dikaitkan dengan bilionair George Soros yang digodam sebelum kandungannya disebarkan melalui WikiLeaks pada penghujung 2016.
Beliau mendakwa antara kandungan yang didedahkan ialah usaha melobi kepimpinan tertinggi AS pada awal 2016 supaya mengambil pendirian lebih tegas terhadap kerajaan Malaysia ketika itu.
Dalam dokumen bertajuk The TPP and Malaysia’s Corruption Crisis, Soros didakwa menggesa Washington menjauhkan diri daripada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dan meningkatkan tekanan terhadap kerajaan ketika itu.
Eric berkata dokumen berkenaan turut mengandungi pelbagai naratif berkaitan hubungan Malaysia-China, kedudukan politik Najib serta isu membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, antara naratif yang diketengahkan ialah dakwaan bahawa pemenjaraan Anwar mempunyai kaitan dengan usaha menghalang kemunculan politik Islam yang dianggap lebih sederhana dan demokratik.
Beliau turut mendakwa Soros melihat Anwar sebagai tokoh penting dari sudut kepentingan strategik AS kerana berpotensi menjadi pencabar politik Najib.
Dalam naratif yang sama, Eric berkata terdapat dakwaan bahawa Najib kemudiannya mendekati kelompok konservatif dalam PAS selepas Anwar dipenjarakan.
Perkembangan itu didakwa menyebabkan kelompok progresif dalam PAS tersisih sebelum kemudiannya membentuk Parti Amanah Negara (Amanah), manakala PAS kembali kepada pendekatan Islamisme yang lebih tegas.
Eric bagaimanapun menegaskan bahawa naratif tersebut bukanlah hasil rekaannya sendiri, sebaliknya merujuk kepada hujah dan kandungan yang didakwa terdapat dalam dokumen berkaitan.
“Sekali lagi, semua ini bukan saya yang reka. Ini adalah hujah dan naratif yang dibawa oleh bilionair George Soros kepada Kerajaan Amerika Syarikat ketika itu.
“Dan sampai hari ini, dokumen serta e-mel berkaitan masih boleh dirujuk melalui arkib WikiLeaks,” katanya.










