Kalau Benar Ibu Kandung, Bapa Tiri Amir Bersalah, Hukumlah Mereka – Norlida

Ibu angkat kepada Allahyarham Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, terkejut apabila mengetahui kedua-dua ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak berkenaan akan didakwa di mahkamah pagi ini atas tuduhan mendera dan membunuh.

Malaysia Gazette melaporkan bahawa Norlida terdiam dan hanya tangisan kedengaran di hujung talian ketika dihubungi.

Malah dalam keadaan teresak-esak wanita itu menyebut: “Allah, Ya Allah kesiannya Amir, kesian anak umi kena pukul. Sampai hati buat Amir macam tu.”

Beliau yang mesra disapa dengan panggilan Umi berkata, biarpun pada awal kematian anak angkatnya dikaitkan dengan penderaan, tetapi dia sentiasa memujuk hatinya untuk tidak menerima spekulasi tersebut.

Sebaliknya, dia cuba menerima kematian Amir kerana terjatuh, bukan didera oleh ibu kandung atau bapa tirinya.

“Umi selalu tepis tanggapan orang bahawa Amir didera. Umi sebenarnya tak sanggup untuk terima hakikat Amir dipukul.

”Umi tak mampu bayangkan kesakitan Amir bila dipukul,” katanya sayu.

Kanak-kanak yang berusia tujuh tahun itu ditemui lemas dalam tong air di Krubong, Melaka, akhir bulan lalu.

Serentak penemuan mayat itu, ibu kandung dan bapa tiri Amir ditahan reman pada 30 Januari lalu.

Meskipun suaranya kedengaran sedih, Norlida dengan tegas berkata, kalau betul pasangan suami isteri itu bersalah, mereka berhak dapat hukuman.

“Umi tidak mahu mengeruhkan keadaan, itu sahaja dari umi,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles