Kalau Benar Dakwaan ‘Beli’ ADUN, Shafie Kena Tunjuk Bukti

Setelah tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah September lalu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal didakwa berterusan memfitnah Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pengerusi Pertubuhan Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata ketika ini bekas Ketua Menteri Sabah itu menuduh kerajaan negeri hari ini sibuk menabur wang sehingga jutaan ringgit untuk ‘membeli’ wakil rakyat dari WARISAN.

Sehubungan itu Zulkarnain memberitahu bahawa pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk membuat laporan polis Shafie dalam masa terdekat.

“Shafie membuat dakwaan kononnya Kerajaan GRS telah menawarkan imbuhan wang jutaan ringgit untuk membeli wakil rakyat daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk bertindak keluar parti,” katanya.

Dua hari lalu, Shafie mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir akan menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya dalam masa terdekat.

Ini bagi membolehkan kerusi DUN Sebatik yang dimenanginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dipertimbang untuk dikosongkan.

Tindakan itu dipercayai ada kaitan dengan sebuah video dimana Hassan berikrar dan menandatangani surat itu sebelum menjadi wakil rakyat pada PRN Sabah.

Kandungan ikrar itu menyebut jika Hassan mengkhianati Warisan dengan menyertai parti politik lain atau meninggalkan parti sebagai ADUN Bebas, beliau akan meletak jawatan sebagai ADUN.

Shafie juga mendakwa, salinan surat itu akan diserahkan kepada Yang di-Pertua Negeri dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam pada itu, Presiden WARISAN itu didakwa cuba mewujudkan sangkaan buruk ke atas kerajaan GRS kerana membuat tuduhan tentang wujudnya tawaran imbuhan wang ringgit kepada wakil-wakil rakyat Warisan.

“Dalam masa sama Shafie tidak sertakan bukti kukuh dan sah sama ada dalam bentuk dokumentasi, rakaman perbualan, video ataupun mesej telefon,” katanya.

Zulkarnain juga mencabar Shafie membuktikan bahawa beliau tidak berbohong dengan menunjukkan bukti bagi menyokong kenyataan mengenai tawaran wang jutaan ringgit tersebut.

“Ini bukan kali pertama Shafie membuat tuduhan fitnah jahat berupa tawaran wang ringgit ke atas wakil rakyat WARISAN.

“Tuduhan Shafie itu tanpa melaporkan terlebih dahulu kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga secara jelas telah melanggar Akta SPRM 2009.

“Justeru satu laporan polis akan dibuat bagi meminta pihak polis mendakwa Shafie kerana telah mengeluarkan kenyataan fitnah,” katanya.

Malah SPRM digesa mendakwa Shafie kerana dengan sengaja tidak melaporkan aktiviti sogokan membabitkan pembelian wakil rakyat WARISAN.

“Kenapa perlu takut dan khuatir untuk melaporkan tawaran pembelian wakil rakyat kepada pihak SPRM melainkan Shafie sebenarnya hanya berbohong.

“Kami cukup yakin tindakan Shafie itu hanyalah sebagai taktik bagi menghalang lebih ramai wakil rakyat Warisan keluar parti bagi menyokong kerajaan GRS,” katanya.

Latest articles

Related articles

spot_img