Kalah Teruk Di Langkawi, Tun M Tak Perlu Nasihatkan Anwar

KUALA LUMPUR: Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menempelak kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberitahu tidak yakin dengan kemampuan Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui kerajaan.

Ujar Nazri, Anwar selaku Perdana Menteri tidak perlu mengambil serius kenyataan Dr Mahathir.

Apatah lagi dengan prestasi terburuk Dr Mahathir pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu selama terlibat dalam politik.

“Beliau bukan sahaja tewas di (kerusi Parlimen) Langkawi, malah hilang wang pertaruhan bersama calon lain yang bertanding mewakili parti dipimpinnya.

“Anwar bebas melakukan apa sahaja demi kebaikan negara dan kita harus membenarkannya berbuat demikian,” katanya seperti dilaporkan FMT.

Terdahulu menerusi temuramah bersama BH, Dr Mahathir khuatir dengan kemampuan Anwar dalam menguruskan negara.

Beliau berkata, tumpuan Ahli Parlimen Tambun itu lebih untuk mengekalkan dirinya sebagai Perdana Menteri manakala perancangan mengatasi masalah negara susulan kesan pandemik, kemerosotan ekonomi dan ketidakstabilan politik, masih belum diberi perhatian.

Dr Mahathir turut mengimbau ketika beliau melantik Anwar sebagai pemangku Perdana Menteri pada 1990-an yang mana Presiden PKR itu gagal menangani masalah berhubung kejatuhan nilai ringgit ketika itu.

Mengulas mengenai dakwaan Dr Mahathir itu, Mohamed Nazri berkata, beliau ada bercakap dengan Anwar ketika kejadian sebelum dimaklumkan bahawa Anwar tidak mempunyai sebarang kuasa.

“Walaupun Dr Mahathir sedang bercuti ketika itu, beliau mengawal segala-galanya,” katanya.

Pandangan yang sama disuarakan bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, yang berkata pandangan negatif Dr Mahathir yang konsisten terhadap Anwar seharusnya diendahkan.

“Rakyat perlu bersama Anwar kerana kita sedang berdepan dengan cabaran ekonomi yang memerlukan semua pihak untuk bekerja sama.

“Setakat ini, strategi dan kenyataan Anwar dilihat proaktif dan keutamaan yang diberikan berada di landasan yang tepat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles