Kalah Saman Fitnah, Beberapa Desakan Supaya Hannah Letak Jawatan

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah Malaysia (UMMAH) menyatakan bahawa tindakan saman yang difailkan oleh Hannah Yeoh terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan adalah tidak berasas.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa, menegaskan keputusan mahkamah membuktikan kenyataan Musa bahawa kumpulan Evangelis mempunyai hubungan dengan DAP adalah benar. Beliau juga mendakwa Menteri Belia dan Sukan itu berniat menyebarkan agama Kristian dan menegakkan Kristian di Malaysia, yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Keputusan mahkamah mengukuhkan kedudukan Tan Sri Musa Hassan dan menunjukkan bahawa tuduhan Hannah Yeoh tidak berasas serta tidak disokong oleh fakta kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zai menambah, UMMAH komited memelihara integriti kepimpinan negara dan melihat saman tersebut sebagai langkah yang mencemarkan nama baik serta kredibiliti seorang Ahli Parlimen dan Menteri Kabinet.

Semalam, bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah, mencadangkan agar Hannah Yeoh meletakkan jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan. Beliau berhujah keputusan mahkamah menunjukkan Hannah gagal memenuhi sumpah jawatan untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, termasuk kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

UMMAH turut mendesak Hannah bertanggungjawab atas tindakannya dan segera meletakkan jawatan.

“Sebagai seorang pemimpin, keputusan mahkamah yang menolak saman beliau menunjukkan tuduhan tersebut tidak berasas. Demi menjaga kredibiliti dan integriti kerajaan, adalah wajar bagi beliau untuk berundur,” kata Mohd Zai.

Beliau turut mengingatkan Hannah agar lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan, terutama apabila melibatkan tokoh berprofil tinggi seperti Tan Sri Musa Hassan yang telah banyak berjasa kepada negara.

Pada Isnin lalu, Mahkamah Tinggi menolak saman fitnah yang difailkan oleh Hannah Yeoh terhadap Musa Hassan berhubung kenyataan di sebuah forum di UiTM empat tahun lalu. Mahkamah memutuskan bahawa Hannah gagal membuktikan kenyataan tersebut secara keseluruhan merujuk kepada dirinya.

Mahkamah turut memerintahkan Hannah membayar kos RM40,000 kepada Musa Hassan.

UMMAH menyatakan bahawa keputusan ini menjadi pengajaran penting agar semua pihak lebih berhati-hati dalam membuat tuduhan tanpa bukti kukuh, kerana ia boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi kepimpinan.

BBerkaitan

Latest articles