KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN), khususnya PAS, perlu mempertimbangkan perubahan slogan dan meninggalkan naratif negara Islam selepas kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Puad Zarkashi.
Menurut Puad, kekalahan tersebut membuktikan bahawa PAS gagal mengulangi kejayaan “Gelombang Hijau” yang dicapai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
“PAS patut lupakan naratif negara Islam. Naratif itu gagal menarik minat pengundi pada PRK Ayer Kuning,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, PAS yang merupakan tunjang utama PN turut menjadi faktor halangan untuk gabungan itu menarik rakan parti bukan Melayu yang berpengaruh.
“Gerakan terlalu kecil untuk membantu PN. Hingga hari ini, PN tidak ada parti India seperti MIC dalam BN. PAS adalah halangan besar untuk PN mencari rakan komponen berpengaruh.
“Oleh itu, PAS perlu membawa slogan baharu yang lebih universal dan inklusif,” tegasnya.
Pada PRK DUN Ayer Kuning yang berlangsung semalam, calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir berjaya mempertahankan kerusi tersebut dengan memperoleh 11,065 undi, menewaskan calon PN, Abd Muhaimin Malek (6,059 undi) dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS (1,106 undi).