JOHOR BAHRU: Seorang remaja perempuan yang dipercayai membaling pisau sehingga tertusuk adik lelakinya sehingga maut di Kampung Ulu Pulai, Ulu Choh, Iskandar Puteri ditahan reman enam hari bermula hari ini.
Tempoh reman sehingga 25 Oktober depan terhadap remaja berusia 18 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurmadiana Mamat di Mahkamah Majistret.
Perintah itu dikeluarkan bagi membolehkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Semalam, polis Ibu Pejabat Daerah Iskandar Puteri menerusi kenyataan media memaklumkan telah menerima laporan daripada ibu mangsa mengenai insiden tersebut pada pukul 2.15 petang.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, menurut laporan, kedua-dua beradik itu berselisih faham di dalam kereta semasa perjalanan pulang dari sekolah sebelum kejadian malang itu berlaku.
Mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 2.30 petang dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.