KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) Kota Raja, D Kajendran, sudah berkhidmat kepada rakyat kawasan itu sejak 2008.
Kajendra, 40, menetap di Sentosa, Klang, salah satu Dewan Undangan Negeri (Dun) Kota Raja.
Justeru itu, Kajendra yakin sebagai anak tempatan beliau memiliki kelebihan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kajendran juga yakin penduduk di kawasan itu tahu mengenai gerak kerja yang sudah dilaksanakan olehnya dalam tempoh lima tahun ini memandangkan beliau juga merupakan Penyelaras BN Kota Raja sejak 2018.
“Pengundi di sini tahu track record calon-calon yang bertanding jadi mereka akan teliti dan periksa apa gerak kerja serta perkembangan yang dilakukan dalam tempoh lima tahun (selepas Pilihan Raya Umum ke-14).
“Sejak 2008 hingga kini, saya masih bersama warga Kota Raja dan ada track record dari segi pelajaran, sosioekonomi, infrastruktur yang sudah saya buat untuk Parlimen Kota Raja,” katanya ketika ditemui Pusat Operasi Parlimen Kota Raja di Taman Maznah.
Ahli Exco MIC Selangor itu memaklumkan beliau akan memfokuskan kepada isu pendidikan, pekerjaan, banjir dan infrastruktur dalam tempoh kempen.
Katanya, beliau juga akan melancarkan manifesto yang ingin dilaksanakan untuk warga Kota Raja dalam tempoh dua hari lagi.
Parlimen Kota Raja bakal menyaksikan pertembungan lapan penjuru termasuk Presiden Amanah, Mohamad Sabu mewakili Pakatan harapan yang juga penyandang kerusi berkenaan.
Pencabar lain adalah Fahmi Bazlan Muda (Gerakan Tanah Air), Mohamed Diah Baharun (Perikatan Nasional), Sarah Afiqah Zainol Arif (Parti Rakyat Malaysia) serta tiga calon Bebas iaitu P Raveentharan, S Surendhar dan K Kumar.