KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menafikan dakwaan bahawa penubuhan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) dan Sekretariat Orang Melayu bertujuan mewujudkan persaingan antara dua bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketua Wanita PN, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kedua-dua gerakan itu membawa matlamat sama iaitu memperjuangkan nasib rakyat serta memperkukuh suara pembangkang melalui kesepakatan politik dan sosial, bukannya ‘perkahwinan politik palsu’ seperti disindir Ahli Majlis Tertinggi Umno, Puad Zarkashi.
“Tujuannya untuk membetulkan hala tuju negara, bukan bersaing siapa ketuai platform. Penyatuan IPR dan Sekretariat Orang Melayu memberi mesej jelas bahawa PN terbuka bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi agenda rakyat,” katanya memetik pada FMT.
Sekretariat Orang Melayu ditubuhkan Jun lalu oleh Mahathir bagi menghimpunkan semua pihak yang memperjuangkan isu Melayu, manakala IPR pula diumumkan Ogos lalu oleh Muhyiddin sebagai gabungan 11 parti pembangkang bagi menangani isu rakyat dan kegagalan kerajaan menunaikan janji reformasi.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Razali Idris turut menolak dakwaan berlaku pertembungan antara kedua-dua entiti itu kerana peranan mereka berbeza.
“Mahathir mengetuai NGO Melayu, manakala Muhyiddin mengetuai parti politik berbilang kaum. Matlamatnya tetap sama,” jelasnya.
Dalam masa sama, Razali membidas Puad kerana cuba menggambarkan pembangkang tidak sehaluan sedangkan gabungan kerajaan sendiri penuh konflik.
“Sebenarnya yang ‘kahwin palsu’ ialah dalam kerajaan. Umno dan DAP masih berbeza haluan. Umno perlu jelaskan kedudukannya, sama ada benar-benar peneraju politik Melayu atau sekadar pelengkap dalam gabungan dipimpin Pakatan Harapan (PH),” katanya.