KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan mempercepat pelaksanaan dasar serta reformasi institusi negara dengan pendekatan yang lebih dinamik dan berkesan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa kaedah lama dalam merangka dan melaksanakan dasar tidak lagi relevan dan perlu diubah untuk memastikan hasil yang lebih efektif.
Sebagai contoh, Anwar menyentuh mengenai usaha memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah, yang menurutnya, perlu melalui pendekatan baharu dan lebih pantas.
“Selain memperkukuhkan bahasa Melayu, kita juga perlu memastikan penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua ditingkatkan terutama di peringkat menengah.
“Jika ikut kaedah lama, keputusan dibuat pada 2023, dasar dirangka pada 2024, diputuskan pada 2025, diujikaji pada 2026, bermula secara berperingkat pada 2027 dan hanya dilaksanakan sepenuhnya pada 2028. Pendekatan sebegini sudah tidak boleh dipakai lagi,” katanya dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.
Anwar menegaskan bahawa mutu penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar akan diperkukuh mulai tahun ini, manakala kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetap dipertahankan tanpa kompromi.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menekankan bahawa sebarang reformasi dasar dan institusi kerajaan harus memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Kita bercakap mengenai reformasi institusi untuk rakyat, tetapi jika rakyat tidak melihat kesannya, itu adalah masalah besar. Kita perlu pastikan setiap dasar baharu yang diperkenalkan benar-benar membawa manfaat kepada rakyat secara jelas,” katanya.
Selain itu, Anwar turut memuji prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh beberapa institusi pelaburan utama negara seperti Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat ini.
Beliau percaya bahawa dengan hala tuju yang lebih jelas dan reformasi yang lebih cekap, Malaysia mampu mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.