Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) serta langkah kesihatan awam merekodkan kadar kesembuhan akibat COVID-19 pada gelombang ketiga lebih tinggi berbanding dua gelombang sebelum ini.
“Ada sesetangah pihak mahu PKPB ditamatkan lebih awal, namun kita (kerajaan) perlu melihat penilaian risiko iaitu trend ataupun kebolehjangkitan dalam komuniti sebelum membuat keputusan yang wajar.
“Walaupun kita (rakyat) dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pergerakan, mengimplimentasikan segala penguatkuasaan dan norma baharu menjadi mandatori, perlu diingatkan bahawa setakat ini masih tiada ubat khusus untuk merawat COVID-19.
“Yang ada hanya rawatan yang berpatutan untuk kadar kesembuhan yang tinggi,” katanya/
Adham mengulas situasi semasa COVID-19 di Malaysia dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan oleh RTM menerusi TV1 pagi tadi.
Adham menambah sehingga semalam, kadar kesembuhan dan discaj mencatatkan 73.4 peratus daripada keseluruhan 48,520 jumlah kes positif, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 12,601 kes.
Pelaksanaan PKPB dan PKPD dilihat sebagai jalan yang terbaik untuk melandaikan lengkuk jangkitan bagi mengawal penularan COVID-19 dalam komuniti.
“Pergerakan antara daerah dan negeri membantu mengawal kawasan hijau daripada bertukar status kepada kawasan jingga dan merah. Sekiranya tidak dapat dikawal maka PKPD perlu dilaksanakan,” katanya.
Mengulas mengenai vaksin COVID-10, Adham memberitahu bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) memerlukan data klinikal fasa ketiga bagi melihat keberkesanan dan keselamatan serta kualiti vaksin itu sebelum negara mendapatkannya.
“Walaupun Pfizer dan BioNtech menyasarkan 90 peratus keberkesanan, manakala Moderna mengatakan 94 peratus berkesan, kita masih lagi perlu berunding dengan pihak pembangun vaksin.
“Selain itu, KKM juga perlu memastikan vaksin tersebut tidak mempunyai kesan sampingan terhadap mereka yang akan disuntik kelak. Kita mahu vaksin itu dapat melindungi ataupun dapat mengawal jangkitan selain melindungi diri daripada jangkitan seterusnya,”katanya.