Kad Memori Kotak Perakam Suara Kokpit Dalam Keadaan Baik, Bahagian Luaran Rosak Teruk

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kad memori kotak perakam suara kokpit (CVR) masih berada dalam keadaan baik ketika dibuka Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).

Kotak rakaman itu dihantar ke makmal di Singapura semalam kerana negara jiran itu memiliki kepakaran menerusi Technical Transport Singapore Bureau untuk mengesan data di dalam kad memori itu.

Bagaimanapun bahagian luaran CVR yang dijumpai daripada pesawat ringan yang terhempas di Bandar Elmina minggu lalu itu ditemukan rosak teruk keadaan luarannya apabila dibuka pada Sabtu lalu.

“Rakaman komputer seperti yang telah dilaporkan sebelum ini dikenal pasti dan dihantar ke makmal pada Jumaat lalu.

“Apabila ia sampai ke makmal, BSKU mendapati kotak tersebut telah pun rosak teruk di luarnya.

“Selepas itu kita mendapat bantuan teknikal daripada pihak Technical Transport Singapore Bureau dan pakar-pakar mereka juga datang ke Malaysia hari yang sama.

“Pada hari Sabtu, peralatan tersebut telah dibuka untuk mendapat memory puck tersebut dan didapati masih dalam keadaan yang baik dan oleh sebab kita tidak ada peralatan untuk kesan data rakam tersebut jadi memory puck tersebut perlu dihantar ke Singapura pada Ahad (semalam),” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan, hari ini.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, BSKU kini berada di Singapura untuk mengesan kembali rakaman suara kokpit itu bersama pakar di sana.

Namun beliau tidak dapat memastikan tempoh waktu untuk mengesan rakaman itu akan diambil.

“Kita cuba dapatkan rakaman data tersebut iaitu rakaman suara 30 minit terakhir sebelum pesawat tersebut terhempas.

“Namun tidak pasti masa untuk diambil tetapi akan berusaha secepat mungkin dan maklumat terkini akan diumumkan segera,” katanya.

Dalam insiden Khamis lalu pukul 2.50 petang, 10 lelaki disahkan maut selepas pesawat ringan terhempas di persiaran bandar Elmina, berdekatan Lebuhraya Gutrie dekat Shah Alam.

Pesawat yang berlepas dari Langkawi ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mendapat kebenaran untuk mendarat pada pukul 2.50 petang dan terhempas dua minit sebelum mendarat.

BBerkaitan

Latest articles