KUALA LUMPUR: Kerajaan bakal membuat keputusan penting esok berhubung kemelut membabitkan beberapa insiden jenayah serius di sekolah, termasuk kes rogol pelajar di Melaka dan Kedah serta kes bunuh pelajar perempuan di Petaling Jaya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata isu melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM) itu akan dibentangkan secara terperinci dalam mesyuarat Kabinet.
“Esok kita akan bincang perkara ini dengan lebih terperinci dalam Kabinet. Saya sudah berbincang secara ringkas dengan menteri dan beberapa pihak sebentar tadi. Kita akan buat keputusan esok,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM) dan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ke-25 (AEBF-25) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Dalam tempoh dua minggu, tiga kes mengejutkan negara dan mencetuskan tekanan terhadap KPM yang diterajui Menterinya, Fadhlina Sidek.
Dua kes rogol berkumpulan dilaporkan berlaku di Melaka dan Kedah.
Di Melaka, dua daripada empat pelajar lelaki Tingkatan 5 telah didakwa di Mahkamah Alor Gajah hari ini atas tiga pertuduhan merogol berkumpulan, melakukan seks luar tabii dan serangan seksual ke atas pelajar Tingkatan 3.
Seorang mengaku bersalah, manakala seorang lagi tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.
Hari ini, empat remaja termasuk tiga pelajar sekolah ditahan kerana dipercayai merogol berkumpulan seorang pelajar lain di Baling dari Mei hingga Ogos, malah merakam dan menyebarkan video bogel mangsa.
Manakala pada dua hari lalu seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun mati ditikam di sekolah oleh rakan sekelas lelaki berusia 14 tahun.
Suspek kini direman tujuh hari.
Dalam pada itu Mesyuarat Kabinet esok dijangka menjadi penentu sama ada kerajaan akan melaksanakN polisi baharu keselamatan sekolah, meminda undang-undang berkaitan pelajar juvana, mengukuhkan peranan kaunseling dan psikologi di sekolah atau mengambil tindakan terhadap pihak sekolah yang cuai.