KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengadakan mesyuarat pada Jumaat ini bagi membincangkan isu menghentikan pemberian tol percuma setiap kali musim perayaan, demikian menurut Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil.
“Saya percaya mesyuarat akan membincangkan perkara ini dan kita tunggu apa hasil perbincangan di peringkat ini.
“Apa yang telah diumumkan oleh (Menteri Kerja Raya) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi adalah berdasarkan keputusan dasar yang telah dibuat sebelum ini tapi sudah pasti kerajaan akan menerima pandangan daripada pelbagai pihak dan mengkaji langkah yang tepat untuk kita ambil ke depan,” katanya ketika ditemui semasa Sidang Kemuncak Pencegahan Jenayah Siber dan Ekspo (AISSE’25), di PICC.
Fahmi menjelaskan kerajaan sentiasa mengutamakan isu kos sara hidup rakyat dan kesesakan lalu lintas.
“Isu berkait dengan perjanjian konsesi yang telah ditandatangani sebelum ini dan kita harus hormati sebarang perjanjian yang telah dimeterai.
“Dalam masa yang sama kerajaan sedang meneliti seperti yang disebut oleh Menteri Kerja Raya semalam langkah-langkah yang boleh kita ambil untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh rakyat sama ada dari segi kos sara hidup mahupun dari segi kesesakan lalu lintas. Kedua-dua ini penting,” ujarnya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada semalam berkata, kerajaan memutuskan untuk menghentikan pemberian tol percuma sempena musim perayaan.
Alexander memaklumkan perkara itu sudah diputuskan dalam mesyuarat Kabinet tahun lalu dimana pemberhentian itu akan digantikan dengan pendekatan yang lebih bersasar.
Kerajaan sebelum ini memaklumkan syarikat konsesi tidak menanggung sebarang implikasi kewangan berikutan pengecualian tol pada musim perayaan kerana kos pemberian tol percuma dibayar oleh kerajaan.
Untuk rekod pelaksanaan pemberian tol percuma musim perayaan menyebabkan kerajaan menanggung kira-kira RM20 juta sehari kepada syarikat konsesi lebuh raya.