Kabel Dipotong, Perkhidmatan ERL Alami Gangguan Hari Kedua

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) mengesahkan mengalami gangguan buat hari kedua berturut-turut akibat pemotongan kabel perkhidmatan kereta apinya oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Susulan insiden itu, ERL menyediakan perkhidmatan pengantara antara stesen Putrajaya, Cyberjaya dan KL Sentral bermula 6 pagi dengan kekerapan setiap 20 minit.

Sementara itu, bagi perkhidmatan pengantara antara stesen Salak Tinggi dan Terminal 1 serta 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula 6.20 pagi dengan kekerapan 20 minit.

Penumpang dinasihatkan mencari pengangkutan alternatif dan merancang perjalanan mereka.

“Vandalisme kabel dipotong berlaku lagi pada pagi ini, yang mana ia akan memberi kesan kepada kedua-dua perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit.

“Berikutan isu teknikal, semua perkhidmatan kereta api digantung sementara waktu. (Penumpang) diminta merujuk kaunter tiket atau status perkhidmatan tren di (platform) X,” katanya menurut Berita Harian sambil menambah ia masih membaiki sistem isyarat.

Semalam, ERL mengesahkan kejadian vandelisme berkait pemotongan kabel di KM48.5 antara stesen Salak Tinggi dan Terminal 1 KLIA dipotong pada 6.20 pagi Selasa.

Akibatnya, perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit digabungkan pada 6.58 pagi dari Terminal 2 KLIA dan 7 pagi dari KL Sentral semalam.

Perkhidmatan tren disambung semula pada 10 pagi semalam dari KL Sentral dan 9.48 pagi dari Terminal 2 KLIA.

Sementara itu ERL memaklumkan bahawa pihak mereka masih dalam proses membaiki sistem isyarat yang terjejas.

BBerkaitan

Latest articles