Ka Siong ‘Kunci Mulut’ Berhubung Pertemuan Tidak Rasmi MCA, MIC Dengan PN

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, memilih untuk tidak memberikan sebarang komen mengenai dakwaan wujudnya pertemuan tidak rasmi antara partinya, MIC dan Perikatan Nasional (PN).

Ditanya pemberita mengenai perkara itu selepas pendedahan dibuat oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Wee hanya berkata:

“Tanya dia. Kenapa tanya saya? Dia yang cakap… Kalau dia mahu bercakap, biarlah dia bercakap.”

Terdahulu, Azmin mendedahkan PN telah mengadakan perbincangan awal dengan MCA dan MIC, dua komponen lama Barisan Nasional (BN).

Katanya, kedua-dua parti itu mengakui dasar-dasar yang diperkenalkan ketika PN memimpin kerajaan di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah lebih adil serta inklusif.

Situasi ini menimbulkan persoalan mengenai hala tuju MCA dan MIC, khususnya selepas beberapa pemimpin kedua-dua parti lantang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kedudukan serta pengaruh mereka dalam kerajaan perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada Jun lalu, Wee mengumumkan bahawa 191 bahagian MCA akan membincangkan masa depan parti, dengan cadangan berhubung hala tuju politik dijangka dibentangkan pada mesyuarat agung tahunan Oktober ini.

MIC pula menyatakan keterbukaan untuk berbincang dengan mana-mana parti politik demi memastikan kelangsungan parti dan memperkukuh khidmat kepada masyarakat India.

Namun, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan beliau tidak pernah menerima sebarang perbincangan rasmi daripada pucuk pimpinan MCA atau MIC mengenai kemungkinan meninggalkan BN.

Spekulasi semakin memuncak selepas Timbalan Ketua Pemuda MIC, K. Kesavan, hadir sebagai wakil parti ke Perhimpunan Agung Tahunan Pemuda Bersatu hujung minggu lalu.

BBerkaitan

Latest articles