Ka Siong Kekal Pilihan Terajui MCA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berikrar akan membawa MCA ke tahap yang lebih baik seperti tahun-tahun terdahulu, bahkan berjanji mahu meningkatkan reputasi sekaligus mengembalikan kegemilangan MCA.

Janji itu dinyatakan Ka Siong selepas berjaya mempertahankan jawatan Presiden MCA untuk penggal kedua setelah menewaskan pencabarnya, Datuk Tan Chong Seng dalam pemilihan parti tahun ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Ayer Hitam itu beroleh 569 undi manakala Chong Seng yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Pusat MCA menerima hanya 11 undi.

Dalam pada itu Ka Siong menyifatkan kemenangannya juga merupakan tanggungjawab yang perlu digalas dengan lebih komited bersama barisan kepimpinan yang baharu.

“Cabaran kita (MCA) besar dan banyak lagi liku politik yang perlu dilalui tetapi saya yakin dengan pasukan baharu yang dibentuk, kita yakin merencanakan strategi dan juga pelbagai program untuk memastikan parti ini boleh melakukan sesuatu yang seiring dengan peredaran zaman,” katanya seperti dipetik daripada MCA Online, hari ini.

Selain itu, Datuk Dr Mah Hang Soon turut mengekalkan jawatan Timbalan Presiden selepas menang tanpa bertanding.

Jawatan Naib Presiden dimenangi oleh Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong, Datuk Tan Teik Cheng dan Datuk Lawrence Low Ah Keong.

Wong You Fong dipilih sebagai Ketua Wanita MCA manakala ADUN Yong Peng, Ling Tian Soon dipilih sebagai Ketua Pemuda MCA.

BBerkaitan

Latest articles