KUALA LUMPUR: Juwairiya Zulkifli, calon di kerusi DUN Hulu Klang yang mewakili Kerajaan Perpaduan tidak menganggap pesaingnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai satu beban untuk membolehkan dirinya menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
“Saya tidak melihat ini sebagai satu faktor yang melemahkan kami, kerana kekuatan jentera Pakatan Harapan (PH), PKR dan Barisan Nasional (BN) yang ada di Hulu Klang itu saya percaya kita dapat atasi.
“Dan sokongan daripada rakyat sangat positif setakat ini dan InsyaAllah saya akan terus fokus pada golongan sasaran kami iaitu wanita, dan anak muda kawasan di Hulu Klang,” katanya yang ditemui pemberita selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, pagi tadi.
Dalam pada itu, Juwairiya memaklumkan antara perkara utama yang akan diselesaikan sekiranya menang adalah pembaikan infrastruktur di DUN Hulu Klang untuk keselesaan rakyatnya.
“Rata-rata saya lihat masalah dan isu di sekitar Hulu Klang ini ialah pembangunan dan infrastruktur, banyak isu yang masih belum selesai permasalahan yang tidak dapat ataupun tidak berjaya diselesaikan oleh ADUN atau Ahli Parlimen sebelum ini yang perlu diberi fokus kerana itu yang menjadi kembimbangan mereka dan akhirnya kita nak pastikan kesejahteraan penduduk di Hulu Klang itu.
“Dan saya nak rakyat rasa selamat dan semua infrastruktur itu lebih teratur pada masa akan datang,” katanya.