Juruteknik Mengaku Tak Bersalah Pukul Isteri Selepas Kantoi Di Hotel

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini di atas pertuduhan menggunakan kekerasan ke atas isterinya di sebuah hotel, bulan lalu.

Mohd Ridwan Mat Nasir, 37, yang juga seorang juruteknik membuat pengakuan tidak bersalah di depan Majistret Uthman Abd Ghani selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan terhadap isterinya berusia 38 tahun di sebuah hotel di Port Dickson pada 9.50 pagi 24 Mei lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 352A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai pendakwa, Nor Asiah Mahmud mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, tetapi peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, A Krishnaveni memohon ikat jamin dikurangkan kepada RM2,500 atas alasan tertuduh hanya bekerja sebagai juruteknik.

Mahkamah menetapkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin dan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Julai ini.

Terdahulu, satu video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki memukul isterinya yang dipercayai baru habis berpantang sehingga menyebabkan mangsa cedera di pipi dan sakit di beberapa anggota badan.

Media melaporkan siasatan polis mendapati kejadian itu disyaki berpunca daripada lelaki terbabit curang.

BBerkaitan

Latest articles