KUANTAN: Sebuah pesawat pejuang F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilaporkan terbabit dalam kemalangan di kawasan landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah (LPSAS), malam tadi.
Dalam kejadian jam 9.05 malam itu, juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat berkenaan dilaporkan selamat serta segera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk pemeriksaan lanjut.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
“Polis sahkan kejadian berkenaan dan kedua-dua juruterbang kini dirawat di HTAA,” katanya ringkas.
Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam kenyataan awal turut memaklumkan pihaknya sedang mengambil tindakan segera dan akan mengumumkan perkembangan dari semasa ke semasa.
Orang ramai juga diminta agar tidak menyebarkan spekulasi atau maklumat tidak sahih berkaitan kejadian tersebut.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa simpati kepada juruterbang serta pembantu juruterbang yang cedera, selain mendoakan mereka segera sembuh.
“Pihak berkuasa diminta menjalankan siasatan yang menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian dan memastikan langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya diambil.
“Saya mendoakan agar kedua-dua anggota yang cedera diberikan kesembuhan segera serta dipermudahkan segala urusan rawatan dan pemulihan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, beberapa rakaman video dipercayai diambil penduduk sekitar turut tular di media sosial, memaparkan cahaya jingga di langit dan kepulan asap tebal berdekatan kawasan lapangan terbang berkenaan.