Juruteknik Kilang Kantoi Rakam Video Isteri, Kakak Ipar, Anak Saudara Mandi

KUALA LUMPUR: Polis Melaka sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki merakam secara curi-curi gambar dan video isterinya, dua kakak ipar serta anak saudara perempuannya menggunakan kamera pengintip berbentuk pen.

Perbuatan jijik itu terbongkar selepas isterinya yang berusia 27 tahun menemui kamera tersembunyi dalam beg milik lelaki berkenaan di rumah mereka di Lereh, Tanjung Kling, pada Jun tahun lalu.

Menurut sumber, wanita berkenaan yang bekerja sebagai operator kilang pada mulanya takut untuk bertanya kepada suaminya yang berusia 35 tahun, namun akhirnya memberanikan diri memeriksa kandungan kamera dan komputer riba suaminya secara diam-diam.

“Hasil semakan mendapati terdapat rakaman video dan gambar dua kakaknya yang masing-masing berusia 38 dan 40 tahun serta anak saudara perempuan berusia 14 tahun dalam bilik mandi. Turut ditemui, video curi-curi kakaknya di bilik tidur,” katanya.

Pada Oktober tahun lalu, wanita itu akhirnya bersemuka dengan suaminya yang mengaku melakukan kesalahan tersebut dan menyatakan tidak tahu kenapa dia bertindak demikian.

Akibat insiden itu, pasangan terbabit yang mempunyai dua anak memutuskan untuk berpisah dan bercerai pada Januari lalu. Bekas isteri lelaki itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Batu Berendam semalam kerana bimbang akan keselamatan diri dan keluarga.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan laporan diterima dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara hingga lima tahun, denda, atau kedua-duanya.

BBerkaitan

Latest articles