Jurusolek Mengaku Tak Salah Hisap Kemaluan Pelakon

KUALA LUMPUR: Seorang jurusolek yang juga pemilik salun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini, atas pertuduhan melakukan jenayah seksual terhadap seorang pelakon lelaki, minggu lalu.

Tertuduh, Saril Sarip, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Haderiah Siri sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Saril yang juga seorang tukang gunting rambut didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dengan cara memasukkan kemaluan mangsa berusia 18 tahun ke dalam mulutnya tanpa kerelaan dengan meletakkan ketakutan kecederaan kepadanya.

Kejadian berlaku di salun dandanan rambut miliknya di Taman Tasik Utama, dalam daerah Melaka Tengah pada kira-kira pukul 4.15 petang 17 Januari lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan antara lima hingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan sebatan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain menawarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi dan melapor diri setiap bulan di Balai Polis Durian Tunggal sehingga kes selesai.

Peguam, L Sharveen bagaimanapun memohon jaminan rendah kerana anak guamnya yang juga masih bujang dan memiliki kedai gunting rambut di Ayer Keroh hanya memperoleh pendapatan sekitar RM2,000 hingga RM2,500 sebulan.

Selain itu, tertuduh juga perlu menyara ibunya berusia 78 tahun yang mengidap darah tinggi dan penyakit usus serta menjaga kakak yang tidak bekerja.

Selepas mendengar hujahan kedua pihak, Hakim Haderiah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 24 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

BBerkaitan

Latest articles