Jururawat Maut Digilis Kereta Selepas Langgar Belakang Lori

KUALA LUMPUR: Seorang jururawat maut digilis kereta selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori di lorong kecemasan di Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK), semalam.

Timbalan Ketua Polis Sepang, G K Shan Gopal, berkata kejadian berlaku pada 1 petang itu ketika mangsa berusia 29 tahun dalam perjalanan dari Cheras Jaya ke tempat kerja.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa dipercayai telah terlanggar belakang sebuah lori tiga tan yang berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami masalah teknikal.

“Akibat dari pelanggaran tersebut, mangsa telah tercampak ke sebelah kanan jalan dan digilis oleh sebuah Perodua Bezza yang kemudian dilanggar Alza,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa, Nurul Ilham Nordin, 29, bertugas di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) Serdang, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Siasatan masih dijalankan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sepang atau Fadzil Zainol Abidin di talian 019-6488474.

BBerkaitan

Latest articles