Jumpa Mayat Selepas Tiga Hari

Selepas hampir tiga hari, pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akhirnya menemui mayat Abdul Wahab Mat Sulaiman, di tingkat dua hutan lipur Taman Rekreasi Lata Tembakah, Sungai Tenang, di sini, pada kira-kira jam 8 pagi tadi.

Abdul Wahab terjatuh dari tingkat lima air terjun itu ketika menyelenggara saluran paip taman rekreasi berkenaan pada Khamis lalu.

Pegawai Pertahanan Awam Besut, Kapten (PA) Ramlan Ros Wahid, berkata mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk proses bedah siasat.

“Pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR), beberapa barang milik peribadi mangsa seperti baju dijumpai di tingkat tiga serta sarung golok dijumpai di tingkat dua.

“Bagaimanapun, pagi ini, kita berjaya menemui mayat mangsa di tingkat dua hutan lipur ini iaitu selepas 60 jam mangsa dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Khamis lalu, mangsa dipercayai tergelincir sebelum terjatuh dari tingkat lima air terjun Lata Tembakah, Sungai Tenang di Hulu Besut.

Ketika kejadian, mangsa yang juga pekerja syarikat kontraktor di hutan lipur itu dikatakan sedang membaiki saluran paip bersama adiknya yang berusia 19 tahun.

BBerkaitan

Latest articles