Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa dirinya tidak lagi mahu memegang jawatan sebagai perdana menteri, selepas meletakkan jawatan yang sama pada Februari lalu.
Namun beliau memberitahu bersedia untuk kembali sebagai perdana menteri buat sementara waktu sekiranya ada permintaan.
Seri Paduka Perincikan Krisis Politik Tercetus Kerana Dr Mahathir Yang Letak Jawatan PM
“Saya tidak menawarkan diri, tetapi saya melihat perkara-perkara ini sebagai tugas. Saya tidak berminat dengan kepuasan sendiri, tetapi jika saya dapat memberi perkhidmatan dan orang berpendapat saya boleh memberi perkhidmatan, saya ada.
“Tetapi tidak lama. Saya sudah berusia 94 tahun, berapa bulan lagi?” katanya semalam.
Ahli Parlimen Langkawi itu juga mengulas pertemuan yang berlangsung antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) kelmarin tanpa kehadiran PKR, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau mengakui gabungan pembangkang itu sedang merancang strategi untuk mengambil alih semula pentadbiran kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun Mahathir seolah-olah tidak yakin dengan jumlah majoriti yang boleh dikumpul PH untuk menumbangkan PN.
“Jumlahnya muncul dan hilang.
“Kita tidak tahu.
“Tetapi yang kita tahu adalah ketika Muhyiddin mengangkat sumpah, dia tidak memiliki majoriti kerana kita memiliki majoriti.
“Kita ada orang yang tandatangan akuan yang mereka bersama kita, kita memiliki 114 (MP) dan pada masa itu Muhyiddin tidak cukup untuk memiliki majoriti,” dakwa Mahathir lagi.