Keputusan terhadap permohonan semakan kehakiman oleh 33 wakil rakyat terhadap keputusan Yang di-Pertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri akan diketahui Jumaat ini.
Tarikh itu ditetapkan selepas Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim mendengar hujah lisan peguam mewakili 33 Adun terbabit, Tengku Fuad Ahmad, Peguam Negeri Brenndon Keith Soh, dan peguam kanan persekutuan.
Penangguhan ini berkemungkinan akan menyebabkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan writ pilihan raya negeri sebelum keputusan dikeluarkan kelak.
SPR pula dijangka akan mengadakan sidang media berkenaan PRN Sabah pada jam 4 petang ini di Kota Kinabalu, selepas mengadakan mesyuarat berkaitan.
Untuk rekod, DUN Sabah dibubarkan seperti yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selepas mendapat kebenaran Tun Juhar.
Ia berlaku selepas bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman memberitahu sudah mendapat sokongan daripada 33 wakil rakyat Sabah untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.