Juasseh Mahu Jadi Pilot Model TVET MicroHub Negeri Sembilan

SEREMBAN, 9 DIS – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, YB Puan Sri Dato’ Bibi Sharliza Mohd Khalid, mengusulkan agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan untuk mewujudkan TVET MicroHub Luar Bandar di Juasseh sebagai model rintis (pilot model) bagi Negeri Sembilan.

Dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2026 Negeri Sembilan, Bibi Sharliza menyokong penuh peruntukan besar dalam Belanjawan kali ini kepada pendidikan dan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) sebanyak RM28.81 juta, kerana dunia pekerjaan hari ini tidak lagi bergantung kepada ijazah semata-mata, tetapi kepada kemahiran teknikal dan teknologi.

MicroHub: Pusat Latihan Fleksibel Berasaskan Komuniti

TVET MicroHub yang diusulkan ini berfungsi sebagai model pusat latihan kecil berasaskan komuniti, bertujuan menyediakan latihan teknikal dan vokasional secara lebih fleksibel, dekat dengan masyarakat, dan kos rendah, terutamanya di kawasan luar bandar.

“Jika kita tidak menyediakan anak luar bandar dengan kemahiran baharu, maka mereka sendiri akan menjadi masyarakat yang tertinggal dalam negeri yang sedang membangun,” tegas beliau.

MicroHub ini dilihat berfungsi sebagai mini learning lab atau mini training centre yang menawarkan akses awal kepada latihan kemahiran, pusat automasi pertanian, dan pusat pemasaran digital untuk sokongan pertanian moden, tanpa memerlukan kampus yang besar.

Sasaran utama MicroHub termasuklah:

• Wanita luar bandar

• Belia lepasan SPM

• Komuniti Orang Asli

• Golongan yang ingin menambah kompetensi digital

Bibi Sharliza berharap TVET MicroHub ini dapat dimulakan di Juasseh sebagai projek rintis negeri, di samping memperkasakan institusi sedia ada seperti Kolej Yayasan di Gentam dan Kolej Vokasional di Pekan Juasseh, yang boleh dinaik taraf.

BBerkaitan

Latest articles