Jualan Rahmah: Beras Import Bawah RM15

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mula mengadakan jualan beras import pada harga Rahmah di setiap program Jualan Rahmah di seluruh negara.

Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata bermula hari ini, pengguna boleh mendapatkan beras import 5kg tidak melebihi RM15 dan 10kg pada harga bawah RM30, di mana-mana program Jualan Rahmah.

Beliau berkata, perkara itu dipersetujui mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi semalam sebagai langkah mitigasi bagi menangani gangguan sementara bekalan beras tempatan dan kenaikan harga beras import.

“Harga beras import yang ditawarkan itu lebih murah daripada dijual di pasaran, iaitu biasanya pada harga RM35 hingga RM40 dan lebih bagi sektor peruncitan.

“Ini usaha kita lakukan untuk membantu KPKM (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan) menangani isu kekurangan bekalan beras tempatan dan peningkatan harga beras import di pasaran. Ini langkah jangka pendek, kita percaya KPKM ada penyelesaian jangka sederhana dan panjang.”

Armizan berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau Program Jualan Rahmah di DUN Pelangai di Dataran Simpang Pelangai, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang.

Beliau berkata, keputusan mengadakan jualan beras import pada harga Rahmah di Jualan Rahmah bagi mengelakkan program diadakan di seluruh negara, mengganggu bekalan beras tempatan di pasaran.

“Jadi, biar kita ambil beras import, tapi kita jual pada harga Rahmah, kita tak nak ganggu atau berlaku dan bertambah gangguan bekalan beras tempatan di sektor runcit.”

Armizan berkata, dalam mesyuarat NACCOL semalam, beliau mengemukakan cadangan berkaitan perluasan penguatkuasaan kepada penguat kuasa KPDN dalam hal berkaitan beras bagi membantu usaha menangani isu bekalan.

“Kita berpandangan wajar cadangan ini dipertimbangkan, kita mahu bantu (tangani isu beras), (namun) sebarang keputusan berkaitan itu akan diputuskan KPKM.”- BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles