Jual Barang Kemas Untuk Bebaskan Eda, Kata Ibu

KUALA LUMPUR: Zahara Mamat, ibu kepada penyanyi dikir barat Kelantan, Eda Ezrin, mengakui terpaksa menjual semua barang kemas milik anaknya bagi menampung kos guaman berjumlah RM65,000 seorang.

Bagaimanapun, wanita berusia 47 tahun itu memberitahu hasil jualan barang kemas itu hanya membolehkan beliau mengumpul RM26,000, jauh daripada jumlah keseluruhan yang diperlukan.

“Sebaik dimaklumkan bahawa kos peguam mencecah 2 juta baht (RM264,000) untuk empat orang, iaitu RM65,000 seorang, saya sedar tidak mampu menampungnya sepenuhnya.

“Jadi, saya terpaksa menjual barang kemas milik Eda dan hanya memperoleh RM26,000. Baki selebihnya saya minta bantuan keluarga mentua Eda untuk mencukupkan jumlah tersebut,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Wilayah Narathiwat, hari ini.

Bukan itu sahaja Zahara juga membuat keputusan berpindah dari Tumpat, Kelantan, ke Tak Bai, Thailand, bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada kes anaknya.

“Sejak Eda ditahan, fikiran saya serabut. Jadi, saya berpindah ke sini dan membuka kedai makan. Saya memang berasal dari Thailand tetapi tinggal di Kelantan sebelum ini kerana bekas suami yang juga bapa Eda adalah orang Kelantan.

“Sekarang, saya sudah putuskan untuk kekal berniaga dan tinggal di sini. Keputusan mahkamah hari ini membuktikan anak saya tidak bersalah, dan Eda memang seorang anak yang baik,” katanya.

Terdahulu, Eda Ezrin, suami serta empat yang lain dibebaskan oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil yaba pada 1 November lalu.

Keputusan itu dibuat oleh dua panel hakim selepas meneliti semua keterangan saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan berlangsung.

Mereka yang dibebaskan ialah Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, suaminya Mohd Affendi Ahmad, 35, serta rakan-rakan mereka, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, Erdeka Mohd Noor, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26.

BBerkaitan

Latest articles