JPJ WPKL Keluarkan 382 Saman, Sita 21 Kenderaan Dalam Operasi Bersepadu Di Plaza Tol Sungai Besi

KUALA LUMPUR, — Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) telah mengeluarkan sebanyak 382 notis saman dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan di Plaza Tol Sungai Besi menghala ke selatan, bermula jam 8.30 pagi tadi.

Operasi itu dilaksanakan secara bersama dengan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) serta PLUS Malaysia Berhad, melibatkan seramai 78 anggota daripada empat agensi terbabit.

Pengarah JPJ WPKL, Hamidi bin Adam, berkata, operasi tersebut memberi tumpuan kepada pemeriksaan dokumen asas pemandu dan kenderaan termasuk lesen memandu, cukai jalan serta perlindungan insurans, selain pematuhan spesifikasi teknikal kenderaan bagi memastikan aspek keselamatan berada pada tahap ditetapkan.

“Sebanyak 2,091 buah kenderaan telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 382 kesalahan dikesan dengan 382 notis saman dikeluarkan. Sebanyak 21 buah kenderaan turut disita atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam sidang media di Plaza Tol Sg Besi hala Selatan disini, hari ini.

Tambah beliau lagi, pihak AADK turut mengesan empat pemandu positif dadah, melibatkan seorang pemandu lori dan tiga penunggang motosikal, kesemuanya warga tempatan.

Dalam pada itu, dua buah bas persiaran turut diambil tindakan kerana didapati melanggar syarat Keperluan Tahap Perkhidmatan (KTP) apabila gagal menyediakan pemandu pelancong seperti diwajibkan di bawah permit operasi.

Kesalahan tersebut termasuklah pemandu pelancong tidak berlesen dan tidak berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebagaimana yang telah disyaratkan di bawah Syarat Khas Keperluan Tahap Perkhidmatan bagi Perkhidmatan Kenderaan Pelancongan, khususnya bas persiaran, seperti yang dibenarkan di dalam lesen kenderaan pelancongan.

“Tindakan serta-merta telah diambil kerana kesalahan ini menjejaskan keselamatan penumpang dan mencemarkan integriti industri pelancongan. Ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 47(1)(6B) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715),” katanya.

Beliau berkata, di bawah akta berkenaan, pengendali yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi syarikat.

JPJ WPKL menegaskan bahawa mana-mana pengendali berlesen bas persiaran yang mengabaikan syarat-syarat lesen, termasuk kegagalan menyediakan pemandu pelancong berlesen, akan dikenakan tindakan tegas tanpa notis awal, termasuk penyitaan kenderaan serta tindakan undang-undang susulan peruntukan undang-undang yang sudah berkuat kuasa.

Mengulas prestasi sepanjang tahun lalu, beliau berkata JPJ WPKL telah menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap 176,536 kenderaan pada 2025, dengan 46,119 kenderaan diambil tindakan dan 955 kenderaan disita atas pelbagai kesalahan lalu lintas dan teknikal.

Antara kesalahan utama yang direkodkan dalam operasi hari ini termasuk tiada lesen memandu sah, tiada lesen kenderaan bermotor, kesalahan insurans, kesalahan cermin gelap melibatkan 98 kenderaan serta kes lebih muatan sebanyak 13 kes.

JPJ WPKL menegaskan operasi penguatkuasaan seumpama ini akan diteruskan secara berkala dan konsisten bagi membentuk budaya pemanduan lebih berdisiplin serta bertanggungjawab, di samping menyeru pengguna jalan raya memastikan kenderaan sentiasa dalam keadaan baik dan mematuhi peraturan ditetapkan.

BBerkaitan

Latest articles