JOHOR BAHRU – Syarikat gergasi teknologi dunia NVIDIA bersama YTL Corporation telah memilih Johor sebagai salah satu daripada hanya lima NVIDIA Cloud Partners di dunia dan sekaligus sebagai melakar sejarah baharu negeri berkenaan dalam dunia teknologi
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pemilihan tersebut adalah pengiktirafan besar terhadap kekuatan ekosistem digital Johor serta potensinya untuk muncul sebagai peneraju transformasi digital di rantau ASEAN.
Katanya kerjasama YTL Power–NVIDIA bernilai RM20.6 bilion yang diumumkan pada Disember lalu di Kulai telah meletakkan asas kepada pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) paling canggih di Malaysia.
“Kerangka Johor–Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) yang menggabungkan kekuatan Johor dan Singapura, menjadikannya pintu masuk strategik ekosistem digital dan AI serantau,” katanya menerusi hantaran di laman rasmi beliau.
Tambahnya projek berkenaan dijangka melahirkan Large Language Model (LLM) pertama negara, membuka ribuan peluang pekerjaan berteknologi tinggi, serta menobatkan Johor sebagai ASEAN AI Centre of Excellence.
“Ia bukti Johor mampu memimpin anjakan teknologi serantau dengan visi yang jelas dan strategi yang mampan,” tambah beliau.
Menurut beliau lagi, kerjasama ini akan diperkukuh dengan pembangunan model AI pelbagai bahasa, penubuhan testbed bersama dalam JS-SEZ, serta penyediaan saluran bakat AI bagi menyokong pertumbuhan ekonomi digital di seluruh rantau.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa langkah strategik ini akan memacu Johor muncul sebagai hab kecerdasan buatan dan digital terkemuka ASEAN.
“Syukur Alhamdulillah, pemilihan ini membuktikan keyakinan dunia terhadap Johor. Insya-Allah, negeri ini akan terus melangkah ke hadapan dalam transformasi digital,” katanya.