KLIAS: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan bahawa kepimpinan Sabah mesti diterajui oleh pemimpin asal negeri itu, bukan individu dari luar yang tidak memahami denyut nadi rakyat tempatan.
Beliau berkata pendirian itu menjadi asas BN dalam memilih calon bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), selain menekankan kepentingan kesetiaan dan konsistensi perjuangan politik.
“Asal usul Sabah itu penting. Untuk bangunkan kewangan negeri, kesejahteraan rakyat dan kestabilan politik, Sabah perlu dipimpin pemimpin yang betul-betul anak Sabah,” katanya.
Johari turut menegaskan BN tidak memberi ruang kepada “pemimpin lompat parti” serta tidak mengimport individu luar untuk dijadikan calon.
Menurut Johari, BN hanya memilih pemimpin yang kekal bersama parti dalam susah senang, sama ada ketika menang atau tewas.
“Kita tidak pilih orang luar, dan kita tidak pilih orang yang suka melompat. Kita mahu pemimpin sejati dalam perjuangan BN,” katanya selepas melancarkan Jentera BN DUN Klias dan Kuala Penyu di Command Center Sweet Cottage, Kampung Pintas.
Beliau turut yakin bahawa kemenangan calon BN di dua kerusi berdekatan iaitu DUN Klias (Osin Jilon) dan DUN Kuala Penyu (Datuk Awang Aslee Lakat) akan memberikan manfaat besar kepada rakyat setempat.
Dengan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching daripada BN, Johari berkata gabungan tiga wakil rakyat BN akan melancarkan pembangunan kawasan tersebut.
“Kalau ketiga-tiga mereka menang, rakyat Beaufort akan dapat manfaat penuh. Dalam BN, kita tidak pilih bulu,” tegasnya.
Johari turut menyatakan kepuasan terhadap kesiapsiagaan jentera parti di kawasan terbabit dan yakin mereka mampu bergerak secara lebih tersusun menjelang hari pengundian.










