Johari Lebih Layak Jadi Menteri Kewangan, Rafizi Angkuh

KUALA LUMPUR: Personaliti Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang jauh lebih berwibawa sepatutnya membolehkan Ahli Parlimen Titiwangsa itu dilantik sebagai Menteri Kewangan.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan menteri sedia ada, Rafizi Ramli tidak kompeten dan angkuh dalam menjalankan tugas berkenaan.

Sehubungan itu beliau menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Johari Abdul Ghani sebagai Menteri Ekonomi bagi menggantikan Timbalan Presiden PKR itu.

“Matlamat kerajaan bukan bagi sesiapa ‘terduduk’ tapi untuk membantu rakyat tanpa mengira pegangan politik. Sepatutnya pada masa ini, lihatlah bagaimana nak mulakan supply-side reform (pembaharuan dari segi penawaran) supaya kita ada penyelesaian jangka panjang berkaitan harga barang.

“Selain itu, dasar berkaitan insentif, percukaian, subsidi, peraturan eksport juga perlukan digunakan oleh kerajaan untuk bantu rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Wan Saiful berkata, sikap angkuh Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) itu yang menyebabkan mereka sentiasa tersasar sedangkan sasaran sebenar sepatutnya adalah menghasilkan idea membantu rakyat.

“Semasa bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN) memegang kuasa, kita prihatin menjaga kebajikan semua rakyat dan kita langsung tak pernah terniat supaya PH ‘terduduk’.

“Tak kira PN atau PH, semua kita bantu. Itulah beza kerajaan PN yang adil dan PH-BN yang tidak kompeten,” katanya.

Media tempatan semalam melaporkan, pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang mempertikai kenyataan Rafizi berhubung isu penawaran dan permintaan barangan akan ‘terduduk’ dalam sebulan lagi setelah langkah itu difahami seluruh rakyat dengan rasional.

Menurut Menteri Ekonomi itu, usaha untuk menyuntik keanjalan dalam permintaan diperlukan sebagai satu mekanisme kawalan harga.

Kata beliau, perkara itu secara tidak langsung dapat mengembalikan kuasa pengguna.

BBerkaitan

Latest articles