JKPK Undang Peguam Negara Untuk Perjelas DNAA Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Tiada perintah (summon) dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi (JKPK) kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Peguam Negara yang baharu, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh untuk hadir prosiding.

Sebaliknya, Pengerusi JKPK, William Leong Jee Keen menjelaskan jawatankuasa itu hanya membuat jemputan untuk memberi pencerahan berkenaan keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) mahkamah terhadap Timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Jumaat lalu.

“JKPK ini menyedari dan menghormati kuasa Peguam Negara dalam menjalankan budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan sebarang prosiding mahkamah selaras dengan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Walau bagaimanapun, undangan kepada mereka adalah untuk membantu JKPK ini memahami beberapa isu berhubung kekhuatiran terhadap percanggahan kuasa dan kepentingan yang timbul, terutamanya berkaitan kes-kes berprofil tinggi apabila Peguam Negara yang merupakan penasihat undang-undang utama kepada Kerajaan dan pada masa yang sama, sebagai pendakwa raya seperti yang telah digariskan di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 376 Kanun Acara Jenayah, khususnya berkaitan dengan implikasi dan cadangan terhadap pemisahan kedua-dua peranan dan tugas tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, William berkata, beliau akan memanggil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) dan lain-lain untuk menghadiri mesyuarat JKPK.

“Pada masa yang sama, Jemaah Menteri telah bersetuju untuk merujuk skop dasar bagi Rang Undang-Undang Sumbangan Politik (RUU) kepada JKPK ini.

“Sehubungan itu, JKPK ini akan melihat serta mengkaji terhadap cadangan bagi Akta Pembiayaan Politik (Political Financing Act) bagi terus memastikan bahawa institusi demokrasi di Malaysia bebas daripada kegiatan yang tidak sihat dan tidak berdemokrasi,” katanya.

Sidang Dewan Rakyat pada Isnin lalu menyaksikan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal membawa usul tergempar bagi meminta sidang Dewan Rakyat ditangguhkan mengikut Perkara 18(1) dan (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat untuk memohon penjelasan Peguam Negara mengenai keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) mahkamah terhadap Ahmad Zahid.

Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak usul tergempar berkenaan.

Kelmarin, William di Parlimen memaklumkan JKPK Ke-15 Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi akan memanggil Ahmad Terrirudin dan Idrus untuk memberi penjelasan lanjut berkaitan isu berkenaan.

Isu berkaitan DNAA terhadap Ahmad Zahid dibangkitkan semula oleh Ahli Parlimen pembangkang sebaik Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mempengerusikan sidang Dewan Rakyat.

BBerkaitan

Latest articles