JKPK Jemput Idris, Ahmad Terrirudin Bulan Depan

KUALA LUMPUR: Penjelasan oleh Tan Sri Idris Harun dan Datuk Ahmad Terrirudin Mohd kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Parlimen (JKPK) Salleh berkenaan keputusan melepas tanpa dibebaskan ke atas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan diadakan pada bulan hadapan.

Pengerusi JKPK, William Leong berkata pada ketika ini pihaknya sedang meneliti beberapa isu yang bakal diajukan kepada mereka.

“JKPK juga memberi keutamaan untuk menangani salah faham dalam kalangan orang ramai yang beranggapan peguam negara menerima arahan daripada perdana menteri.

“Ramai yang beranggapan sedemikian tetapi ia salah sebenarnya dan peguam negara tidak memuktamadkan keputusan berdasarkan arahan daripada perdana menteri,” katanya menurut Berita Harian.

Sebelum ini Ahli Parlimen Selayang itu memberitahu Dewan Rakyat bahawa suatu laporan akan dibentangkan selepas siasatan.

Mahkamah pada 4 Sept, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang membabitkan dana Yayasan Akalbudi; selepas timbalan pendakwa raya memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau pada peringkat itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah dalam keputusannya memaklumkan pihak pendakwaan memberikan beberapa alasan termasuk keperluan menyiasat tuduhan dengan lebih lanjut dan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kandungan buku oleh bekas peguam negara, Tommy Thomas.

JKPK dalam kenyataan memaklumkan prosiding dipanggil kerana melibatkan kes berprofil tinggi seperti pembatalan notis rayuan oleh Mahkamah Rayuan terhadap kes pindaan laporan audit 1MDB; pembatalan pertuduhan Mahkamah Tinggi terhadap bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melibatkan empat pertuduhan predikat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009; selain kes DNAA Zahid.

BBerkaitan

Latest articles