KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh komitmen kerajaan untuk menggerakkan usaha membangunkan semula Gaza dengan membina sekolah, hospital dan masjid.
Sehubungan itu satu Jawatankuasa Khas Penyelarasan Agensi-Agensi yang diurussetiakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Waqaf Malaysia akan dibentuk untuk tujuan pembangunan semula negara berkenaan, demikian menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar.
“Jawatankuasa khas ini akan menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri serta rakan-rakan strategik bagi mempertingkatkan kerjasama menyeluruh masyarakat dalam pembangunan semula Gaza,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Na’im turut menyeru orang ramai bersama-sama berdoa agar segala perancangan yang disusun terlaksana dengan jayanya.
“Semoga Allah SWT memberikan limpahan kesejahteraan dan kekuatan kepada rakyat Palestin menghadapi ujian berat ini,” ujarnya.
Hari ini Perdana Menteri mengumumkan bantuan Malaysia dalam pembinaan semula Gaza dan Palestin akan dijalankan menerusi kolaborasi antara rakyat Malaysia dan sektor swasta.
Beliau berkata usaha pembangunan semula Gaza juga melibatkan kerjasama antara kerajaan Jepun dan Malaysia yang berhasrat menubuhkan serta melancarkan dana melalui program Asia Timur selepas gencatan senjata pada Ahad lepas.